Khamis, 7 Oktober 2010

budi bahasa budaya kita

1.1 Pengenalan
Budi bahasa dan nilai-nilai murni telah lama diamalkan sejak zaman dahulu hingga sekarang dalam menjaga keharmonian hidup. Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti Melayu. Cina, India dan lain-lain kaum. Ini menunjukkan masing-masing mempunyai pelbagai budaya, adat resam dan agama. Bangsa setiap kelompok masyarakat mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing. Penghayatan budi bahasa dan nilai-nilai murni yang wujud dalam masyarakat telah terkandung di dalam setiap ajaran yang wujud di dunia. Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai budaya dan agama memberi pelbagai pangajaran terhadap moral, akhlak dan kemanusiaan. Masyarakat yang harmoni, berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni dapat melahirkan satu bangsa Malaysia yang budiman. Selain itu sekiranya budi bahasa serta nilai-nilai murni dalam masyarakat dihayati satu persatu maka masyarakat akan hidup aman dan tenteram.
Namun begitu, akhir-akhir ini terdapat dalam kalangan masyarakat kini seakan lupa akan nilai-nilai murni. Masyarakat kini lebih cenderung bersikap kasar, meninggikan suara semasa bercakap, tidak mengendahkan tatasusila dan beradab. Contohnya dalam institusi kemasyarakatan merosotnya amalan bergotong royong dan kecenderungan menolong orang lain dalam kesusahan, hilangnya amalan hormat menghormati kepada guru, ibu bapa, pemimpin, ketua dan orang tua-tua, ada juga yang tidak suka senyum bila bertegur-sapa atau semasa memberi khidmat. Selain itu, masyarakat sekarang tidak lagi suka memberi salam, tidak menjaga kebersihan tandas awam, tidak menepati masa, dan juga kurang bertolak ansur di jalan raya.
Budi bahasa dan amalan tidak boleh bercambah dan dikekalkan dengan hanya membiarkan keadaan yang sedia ada. Rakyat dan kerajaan mesti berjuang bersama bagi mewujudkan masyarakat yang berhemah dan berbudi agar tamadun kita tidak hilang mutu dan keindahan sosialnya. Kita perlu ingat-mengingatkan akan amalan murni yang sudah hilang itu. Walaupun banyak masalah yang mempengaruhi sehingga melunturkan budi bahasa masyarakat kita, namun harus diingatkan bahawa ia “Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan”.
Jika amalan dan penerapan budi bahasa dan nilai-nilai murni ini diterapkan akan melahirkan individu dan masyarakat yang mempunyai identiti positif berfikiran luas, terbuka serta bertanggungjawab bukan sahaja terhadap diri sendiri malahan terhadap keluarga, rakan, jiran, pemimpin, guru serta persekitaran.
2.2 Definisi Budi Bahasa
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, budi mempunyai beberapa pengertian. Budi dikaitkan dengan akal atau kebijaksanaan. Budi juga dikaitkan dengan sifat baik, perbuatan baik atau kebajikan. Menurut Kamus Dewan (2002: 180), budi ialah akal dan kebijaksanaan, perangai, akhlak, tingkah laku, kelakuan, watak, dan sifat baik, perbuatan baik, kebajikan, bicara dan daya upaya. Mustafa Haji Daud (1995: 1) merumuskan definisi budi yang dikemukakan oleh Yunus Maris, Kamus Dewan dan Kamus Umum Bahasa Indonesia sebagai lambang pekerti yang baik atau akhlak yang terpuji. Kamus Dewan (2002: 87) mencatatkan maksud Bahasa pula ditakrifkan sebagai sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia seperti antara seorang individu dengan individu yang lain dan sebagainya.
Bahasa juga merupakan percakapan yang baik, tingkah laku yang baik atau sopan santun. Jika digabungkan perkataan budi dan bahasa, ianya akan merujuk kepada tutur kata, kelakuan, sopan santun dan tatatertib, akal kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan tercantum dalam kata-kata mulia, dengan kata lain, setiap gerak laku, tutur kata, tata hidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain sebagai peribadi mahupun pergaulan masyarakat terangkumi dalam konsep budi bahasa.
Daripada definisi-definisi diatas dapatlah disimpulkan bahawa amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni bermaksud usaha yang terancang untuk menghasilkan masyarakat Malaysia yang mengamalkan tingkahlaku dan perbuatan berdasarkan prinsip dan standard yang elok dan baik. Melalui usaha yang terancang dan ditambah dengan matlamat yang jelas, sesuatu amalan itu akan dapat membuahkan hasil. Tambahan lagi, berbudi bahasa juga membawa erti menabur jasa dan bakti melalui bahasa. Bahasa itu tetap dikira sebagai budi, jasa dan bakti sekiranya dituturkan secara baik dan mengandungi nasihat yang baik, tunjuk ajar dan simpati kepada masyarakat. Walau bagaimanapun bahasa itu tetap membawa pengertian sebahagian daripada akhlak yang terpuji seperti mengucapkan terima kasih apabila menerima hadiah.

3.3 Definisi Nilai
Nilai ditakrifkan sebagai kepercayaan yang mendorong seseorang atau sesebuah institusi untuk bertindak mengikut pemilihan yang berdasarkan nilai-nilai utama masyarakat. Mengikut kajian sejarah, ilmu, kebijaksanaan, keadilan, dan iktidal (temperance) merupakan nilai-nilai utama dalam masyarakat. Penerimaan dan penghayatan nilai-nilai utama oleh masyarakat akan menjamin rakyat yang berpendidikan lengkap dalam hubungan masyarakat dengan perilaku etikat sosial dan budaya ilmu (Nilai dan Etika dalam Perkhidmatan Awam, 1991). Nilai juga merupakan konsep asas yang digunakan oleh masyarakat untuk mengukur atau membuat pilihan terhadap sesuatu perkara yang berkaitan dengan mutu, kualiti dan taraf perilaku seseorang atau sesebuah kelompok masyarakat (Jabatan Penerangan Malaysia, 2005)
Nilai-nilai murni adalah tanggapan tentang perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga ia menjadi kriteria atau ukuran. Ia merujuk kepada tanggapan tentang perkara-perkara yang baik, mulia dan tetap. Dari sudut sosiologi, nilai-nilai murni dimaksudkan sebagai luhur (sacred). Penerapan nilai-nilai murni merentasi kurikulum adalah sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Ia bertujuan untuk mendidik individu secara menyeluruh dan harmonis dari segi kognitif, efektif dan psikomotor (Ee Ah meng, 2005). Umumnya, nilai-nilai murni yang diterima diamalkan oleh masyarakat Malaysia yang merentas individu, kekeluargaan, masyarakat dan kenegaraan adalah nilai sejagat yang dituntut oleh agama, kepercayaan, adat rasmi dan kebudayaan.
4.4 Kepentingan berbudi bahasa
Salah satu kepentingan budi bahasa dan amalan nilai murni dalam kehidupan adalah untuk mewujudkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara kita. Masyarakat yang berbudi bahasa akan saling menghormati tidak kira apa-apa jua warna kulit ataupun status individu tersebut. Apabila wujud sikap saling menghormati, masyarakat akan dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan gembira walaupun hidup dengan masyarakat yang berbeza budaya, adat dan kepercayaan. Dalam pada itu, perselisihan faham antara kaum atau rusuhan kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969 dapat dielakkan. Ulang tahun kemerdekaan yang ke-51 iaitu pada tahun 2008 yang bertemakan ‘Perpaduan Teras Kejayaan’ jelas menunjukkan pentingnya perpaduan kaum dalam negara kita yang terdiri daripada rencaman bangsa. Pepatah ada menyatakan ‘Bersatu teguh, bercerai roboh’. Justeru apabila masyarakat bersatu, negara dapat berkembang dengan maju dan anasir-anasir luar tidak dapat menggugat kestabilan negara dengan mudah.
Selain itu, budi bahasa penting kepada remaja kerana mereka merupakan generasi pelapis yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara.ini menjadikan betapa pentingnya remaja sebagai modal insan minda kelas pertama yang akan menjadi pemimpin bangsa dalam mencapai kemajuan negara. Sehubungan itu, pembentukan perangai dan budi bahasa yang mulia penting kepada mereka sebagai panduan untuk menjalani kehidupan. Nilai-nilai murni seperti bersopan santun, hormat-menghormati dan sebagainya perlu digarap sejak kecil. Remaja yang berperibadi mulia dapat menjauhkan diri daripada kancah gejala sosial dan kerosakan akhlak kerana mereka sedar akan keburukan tindakan tersebut.
Di samping itu, disingkap dari perspektif masyarakat pula, budi bahasa dapat menjalinkan silaturrahim dan ukhuwah yang rapat antara jiran. Kini, manusia semakin ghairah dalam mengejar kemajuan dunia yang moden, sehingga perhubungan dengan komuniti sekeliling menjadi tidak penting lagi. Budaya seperti kunjung-mengunjungi, gotong-royong dan kenduri-kendara yang merupakan warisan nenek moyang sudah mula goyah di sesetengah kawasan perumahan. Sebenarnya, budi bahasa harus dijadikan asas untuk membentuk semangat kejiranan, seterusnya merapatkan hubungan antara satu sama lain. Bertegur sapa dengan jiran tidak memadai untuk mengekalkan persahabatan sekiranya kita tidak mengamalkan sikap tolong-menolong, bekerjasama, toleransi dan lain-lain.
Budi pekerti yang mulia mampu memajukan sektor pelancongan negara. Mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5, Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pernah berkata, "Apabila pelawat datang, kita kena senyum kepada mereka. Apabila mereka bertanya jalan, kita kena tunjuk jalan dan apabila mereka bertanya sesuatu, kita harus menjawab secara sopan." Pelancong asing wajar dilayan dengan sopan supaya mereka mempunyai imej yang baik terhadap negara kita. Rakyat harus sentiasa mengamalkan sifat suka senyum kerana sifat ini dapat memberi tanggapan positif kepada seseorang bahawa kedatangannya dialu-alukan. Seterusnya, sektor pelancongan yang rancak akan mempercepat aliran mata wang asing, sekali gus menjana ekonomi negara. Strategi tersebut dianggap sebagai 'langkah serampang dua mata' kerana kita juga akan memperoleh faedah apabila negara menjadi maju dan makmur.
5.5 Institusi Kekeluargaan
Permulaan yang baik adalah bermula daripada institusi keluarga yang menekankan tanggungjawab memberi pendidikan berdasarkan autoriti ibu bapa kepada anak-anak.permulaan daripada kelompok keluarga adalah lebih berkesan dan lebih sesuai dijadikan sebagai tempat kesinambungan khazanah budaya berbudi dan nilai-nilai murni.

5.5.1 Antara Ibu Bapa dan Anak-anak
Anak-anak adalah merupakan salah satu anugerah terindah dari Allah kepada mereka yang bergelar ibu bapa. Tidak dapat dinafikan, kehidupan rumah tangga pasti menjadi lebih ceria dan dan menyeronokkan dengan kehadiran anak-anak. Namun begitu, ibu bapa harus sedar bahawa anugerah ini juga datang dengan sebuah tanggungjawab yang besar iaitu tanggungjawab untuk mendidik dan membentuk si anak agar menjadi seorang insan yang berguna dan cemerlang. Ianya adalah satu tanggungjawab yang besar untuk ibu bapa mendidik dan mencorakkan kehidupan anak mereka.
Mengajar anak-anak apa itu hormat, secara tidak langsung membuatkan mereka belajar untuk menghormati orang lain. Bukankah segalanya bermula dari rumah. Jadi, bercakap dengan baik kepada anak dan tingkah laku itu akan membuatkan anak melakukan perkara yang sama kepada orang lain. Setiap ahli keluarga perlu mempraktikkan perkataan ‘tolong’ dan ‘terima kasih’. Jadikan ia suatu ungkapan yang wajib dalam keluarganya.
Hasil pemerhatian yang telah kami lakukan terhadap terhadap sepasang suami isteri dan anak-anak mereka, budi bahasa dan nilai-nilai murni masih lagi kukuh dan masih diamalkan. Pemerhatian terhadap pasangan tersebut adalah En. Hassan bin Deraman dan Pn. Fatimah binti Wahad, kami mendapati mereka mengamalkan nilai kerjasama. Nilai ini amat penting pada anggota masyarakat dan mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Salah seorang tidak boleh hidup tanpa bantuan atau sokongan dari salah seorang. Masing-masing menyedari bahawa hidup sebagai suami isteri, mereka saling memerlukan bantuan seperti kata pepatah “ seperti aur dengan tebing”. Selain itu, anak-anak mereka juga akan menolong ibunya di rumah dengan melakukan kerja rumah seperti memasak dan mengemas rumah.
4.5.2 Antara Adik Beradik
Hasil pemerhatian kumpulan kami, penggunaan sistem panggilan pangkat kekeluargaan masih diamalkan sejak dahulu hingga sekarang. Ia amat penting bagi pengenalan kedudukan anggota lingkungan keluarga, malahan tiap-tiap kedudukan tersebut memainkan peranan tertentu.
Hubungan antara adik beradik adalah disusun oleh aturan kelahiran iaitu dari sulung kepada tengah dan bongsu. Yang muda mesti menghormati yang tua, adik menghormati kakak dan abang dengan memanggil secara baik gelaran atau pangkat yang lazimnya dalam masyarakat. Antaranya gelaran ‘Abang Long’, ‘Abang Ngah’, ‘Kak Cik’ dan sebagainya. Sistem panggilan ini mempunyai beberapa fungsi yang tersendiri iaitu untuk mewujudkan rasa hormat dan memuliakan seseorang, mengeratkan tali kekeluargaan dan menambahkan keakraban antara adik beradik.
Pergaulan dan kelakuan antara adik beradik dengan sopan santun dan dan budi bahasa yang baik. Ini sekali gus dapat mendidik generasi muda kini dan generasi akan datang menghormati orang yang lebih tua, hubungan yang erat disertai dengan sifat bersopan santun dan menghormati antara satu sama lain mewujudkan perasaan ingin bekerjasama, bertolak ansur, tolong menolong dan seumpamanya.


5.5.3 Antara Saudara Mara
Hubungan darah dan perkahwinan dengan saudara mara sebelah ibu dan bapa, mertua dan ipar dan sebagainya hendaklah berasaskan rasa hormat, sopan santun melalui tegur sapa dan panggilan pangkat. Pemerhatian kumpulan kami mendapati panggilan pangkat ini masih diamalkan. Contohnya ‘Mak Cik’, ‘Mak Su’, ‘Pak Long’ dan sebagainya. Komunikasi dan pergaulan antara saudara mara juga harus berasaskan rasa hormat dan santun.
Amalan kunjung mengunjung antara saudara mara masih kekal hingga ke hari ini. Amalan ini merupakan satu wasilah atau cara mengeratkan dan mengukuhkan tali silaturrahim antara saudara mara. Amalan ini memberi manfaat yang amat besar dan faedah yang berguna dalam konteks perpaduan ummah. Amalan ziarah atau kunjung mengunjung ini juga membolehkan yang jauh menjadi dekat, yang renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai, yang susah menjadi mudah dan sebagainya. Maka dengan amalan ini akan terbentuklah satu ikatan yang dinamakan hubungan silaturrahim.
6.6 Institusi kemasyarakatan
Institusi kemasyarakatan mempunyai tiga perkara iaitu hubungan antara yang tua dan yang muda, hubangan antara pemimpin masyarakat dengan orang awam,dan juga hubungan antara masyarakat umum.


6.6.1 Hubungan antara genarasi tua dan muda
Hubungan antara tua dan muda sentiasa berada dalam suasana hormat-menghormati, sayang-menyayangi dan bertatasusila. Bagi yang muda mestilah mendahulukan yang tua, bertegur sapa dengan menggunakan panggilan pak cik atau makcik atau kakak atau pun adik jika lebih muda. Selain itu, harus bertutur, bercakap atau berbual dengan nada suara lembut, bersopan dan rendah diri serta tidak berjenaka sesuka hati, memerli atau memandang rendah.
Dalam pada itu, yang tua perlu memberikan peluang kepada yang muda untuk memberi pendapat atau pandangan. Buah fikiran orang-orang muda juga harus dihargai terutama jika bernas. Jikalau pendapat yang kurang bernas patut diperbaiki dan diberi tunjuk ajar dengan cara yang baik. Orang muda pula jangan cepat membantah jika pendapat tersebut kurang baik. Seeloknya pendapat orang ditolak dengan secara yang halus dan merendah diri. Seterusnya yang tua atau yang muda jangan suka bermegah-megah atau menunjukkan sikap sombong. Kejayaan seseorang itu patut dihargai dan disanjung dengan ucapan tahniah dan galakan. Tidak patut jika seseorang yang berjaya itu dipandang serong atau diperli untuk merendahkannya.
6.6.2 Hubungan antara pemimpin masyarakat dan orang awam
Hubungan antara pemimpin masyarakat dan orang awam juga perlu di jaga. Setiap orang dalam masyarakat adalah sama kerana peranan sosial dan kemampuan ekonomi yang menyebabkan mereka dipandang tinggi dan hormati. Walaupun begitu, perlu saling menghormati antara satu sama lain. Selain itu, pemimpin yang dipilih haruslah dihormati kerana yang terpilih lebih baik dari yang lain. Masyarakat juga harus menyokong pemimpin bagi melaksanakan sesuatu rancangan dan tindakan yang boleh memberi kebajikan bersama.
Para pemimpin juga tidak patut menunjukkan kuasa yang tidak elok seperti suka membesar diri, sombong dan bermegah-megah. Pemimpin dan yang dipimpin perlu bekerja bersama-sama dan bersatu padu. Bertutur dengan pemimpin mestilah menggunakan bahasa yang sopan dan mengelakkan bahasa kasar. Masyarakat tidak perlu berkeras dan berkasar dalam bahasa dan kelakuan. Hidup bermasyarakat memerlukan tutur kata yang sopan, perangai yang sopan dan pekerti mulia agar tidak menjejaskan silaturrahim sesama masyarakat.
6.6.3 Hubungan antara masyarakat umum
Seterusnya hubungan antara masyarakat umum. Anggota masyarakat yang berbudi adalah orang yang menunjukkan perangai, kelakuan serta peribadi yang baik dan juga sentiasa menjaga dirinya dari berkelakuan buruk yang tidak disenangi oleh masyarakat. Dalam kalangan anggota masyarakat harus bersikap hormat-menghormati dan memberikan bantuan terutamanya kepada warga tua, orang kelainan upaya (OKU), wanita dan kanak-kanak. Dalam bermasyarakat mestilah sentiasa prihatin contohnya sentiasa beratur ketika ingin mendapatkan sesuatu seperti membuat bayaran di kaunter atau menaiki bas. Janganlah bersikap kasar dengan menolak atau melanggar orang ketika berjalan. Di samping itu, masyarakat harus sabar ketika berkenderaan di jalan raya, jadilah pemandu yang bersopan santun di jalan raya. Bertimbang rasa adalah amalan berbudi bahasa merupakan amalan yang amat baik. Kawal suara dan diri apabila berada di tempat awam kerana orang lain juga memerlukan ketenangan. Hidup bermasyarakat juga perlu menjaga kebersihan dan tunjukkan budi bahasa yang mulia terhadap semua orang terutama kepada pelawat dan pelancong dari luar. Budaya-budaya seperti ini akan menunjukkan keperibadian masyarakat dan memperlihatkan negara dan bangsa yang bertamadun.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut akan amalan tersebut masih ada dalam masyarakat, kumpulan kami telah membuat pemerhatian dalam institusi masyarakat. Terdapat lapan item yang kami perhatikan dalam pemerhatian kami iaitu amalan senyum, ucapan terima kasih atau mohon maaf, bertolak ansur, tolong menolong, hormat-menghormati, memberi salam atau bertegur sapa,bersabar dan akhirnya bersopan santun. Kumpulan kami telah membuat pemerhatian di beberapa tempat yang melibatkan penglibatan masyarakat dalam kehidupan seharian. Perkara pertama yang kami perhatikan adalah amalan senyum dalam kalangan masyarakat. Bertempatkan di pasar Tanjung Malim, kami telah melihat pelbagai ragam orang. Amalan senyum dalam kalangan masyarakat masih kekal lagi di Tanjung Malim. Hal ini kerana semasa berselisih dengan masyarakat yang lain masing-masing tidak lokek dengan senyuman. Kesimpulan yang dapat kami simpulkan hampir segelintir yang masih menggunakan amalan senyum sesama masyarakat.
Selain itu, kami melihat amalan mengucapkan terima kasih atau mohon maaf dan amalan tolong menolong. Bertempat lokasi yang sama, kami dapat melihat pelbagai ragam masyarakat. Dalam amalan berterima kasih atau mohon maaf, masyarakat nampaknya sangat malas untuk mengucapkan dua perkataan itu. Apabila telah melakukan kesalahan contohnya terpijak kaki, terlanggar bahu, tolong mengambil barang yang terjatuh dan lain-lain, mereka lebih suka membuat sikap yang tidak mengambil tahu. Sikap ini amat-amat memcacatkan hubungan kemasyarakatan. Hanya beberapa orang sahaja yang masih mengamalkan budaya-budaya seperti ini dan yang lain lebih suka membuat hal masing-masing. Sikap ini apabila tidak terus dipraktikkan dalam masyarakat boleh menyebabkan hubungan sesama masyarakat akan bertambah dingin dan budaya-budaya sebegini akan ditelan zaman. Begitu juga dengan sikap tolong menolong yang sebilangan sahaja yang masih peka terhadap persekitaran. Walaupun ramai yang bersikap dingin terhadap sesama masyarakat, namun masih ada lagi sebilangan yang masih prihatin. Dan nampaknya golongan perempuan lebih suka membantu dalam masyarakat berbanding dengan golongan lelaki semasa pemerhatian dibuat. Mereka masih lagi menolong memunggut barang yang jatuh, menolong angkat barang, menolong memgambil barang dan lain-lain. Dan golongan ini juga yang masih lagi mengamalkan amalan berterima kasih dan mohan maaf. Amalan-amalan ini harus diberi perhatian serius bagi mengembalikan keadaan masyarakat yang mengambil berat antara satu sama lain.
Amalan lain yang diperhatikan oleh kumpulan kami adalah sikap bertolak ansur dan bersabar. Pemerhatian yang dibuat adalah berlokasikan stesen bus. Pertama sekali yang dapat dilihat golongan masyarakat yang tidak sabar dan bersikap terburu-buru serta tidak bertolak ansur. Masing-masing tidak mempedulikan orang lain semasa hendak menaiki bus. Sikap sebegini amat pentingkan diri sendiri. Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris sendiri yang tidak beratur semasa hendak menaiki bus malah, masing-masing tolak-menolak antara satu sama lain untuk menaiki bus. Hal-hal sebegini tidak sepatutnya terjadi. Selain itu, remaja bersikap tidak bertolak ansur kerana tidak memberi laluan kepada golongan tua dahulu. Pemerhatian yang dibuat selama satu jam ini menunjukkan pelbagai sikap masyarakat pada masa kini. Golongan tua diabaikan, golongan muda tidak memberi laluan kepada yang tua dahulu untuk menaiki bus dan membiarkan yang tua orang yang akhir mendapat tempat duduk. Sikap sebegini benar-benar mencemarkan budaya yang kian dipinggirkan. Sikap-sikap remaja sedemikian tidak boleh dibiarkan kerana akan merosakkan institusi kemasyarakatan kerana hanya sebilangan sahaja yang masih mengamalkan amalan ini. Semakin lama dibiarkan, semakin hilang budaya-budaya dalam institusi kemasyarakatan.
Seterusnya budaya ataupun amalan hormat-menghormati dan bersopan santun dalam pertuturan. Pemerhatian yang kami lakukan mendapati hanya segelintir masyarakat yang masih lagi mengamalkannya. Hormat-menghormati antara yang tua dan yang muda harus dikekalkan agar generasi akan datang masih lagi ditinggalkan nilai dalam kemasyarakatan untuk menjadi panduan kepada mereka. Bertempatkan di pasar Tanjung Malim, kami dapat melihat golongan remaja yang menghormati golongan tua contohnya apabila berjalan dan bertemu dengan yang tua mereka akan senyum dan akan memberi laluan kepada yang tua dahulu. Namun, hanya sebilangan sahaja yang berbuat demikian kerana yang lain masing-masing sibuk dan tidak mengambil tahu hal masyarakat. Selain itu, nilai-nilai kesopanan dapat lagi dilihat melalui tutur kata. Contohnya golongan muda masih menjaga tutur kata apabila berhadapan dengan golongan tua. Walaupun hanya sebilangan yang masih mengamalkannya, ianya sudah memadai kerana dalam arus nilai kemasyarakatan yang semakin pupus terdapat lagi sebilangan yang masih menjaga kesopanan.
Kajian lain adalah tentang budaya memberi salam atau bertegur sapa. Amalan ini amat-amat menyedihkan kerana amalan memberi salam atau bertegur sapa jarang sekali dilihat dalam kalangan masyarakat kini. Masyarakat masing-masing sibuk dengan kerjaya sehingga mengabaikan masa untuk beramah mesra dengan jiran tetangga. Oleh sebab itu, kejadian pecah rumah semakin berleluasa kerana jiran saling tidak mengenali jiran masing-masing. Apabila jiran tiada di rumah jiran yang lain tidak mengetahui dan ini memberi peluang kepada pencuri untuk masuk ke rumah. Oleh yang demikian, amalan bertegur sapa amat penting.
Kesimpulan yang dapat kumpulan kami dapati dalam institusi masyarakat kini budaya-budaya sebegini kian pupus. Masyarakat seolah-olah tidak mengambil tahu sesama sendiri. Semangat kejiranan juga semakin pudar. Hal ini dapat dilihat apabila jiran masing-masing membuat hal masing-masing. Perkara-perkara sebegini harus diambil serius bagi mengekalkan budaya-budaya yang hampir pupus ini. Budaya ini harus dipupuk dalam masyarakat bagi mengekalkan kesopanan budaya kita dan untuk generasi akan datang supaya budaya-budaya ini tidak di telan zaman.
7.7 Institusi Pendidikan
Malaysia ialah sebuah negara sedang membangun yang telah mencapai kejayaan besar dalam pelbagai bidang, dan kini sedang berusaha menjadi sebuah negara maju menurut acuan sendiri menjelang tahun 2020. Untuk menjadikan Malaysia sebuah negara cemerlang, gemilang dan terbilang perlu bijak mengurus kejayaan agar ia dapat diperkukuh dan dipertingkatkan.
Dewasa ini, kita sedia maklum bahawa dalam kalangan masyarakat sekarang tidak lagi mementingkan sikap yang baik tetapi lebih mengamalkan cara hidup yang kasar, tidak mengendahkan tatasusila kehidupan dan beradab. Hal ini tidak terkecuali dalam institusi pendidikan yang amat penting kerana sebelum menjadi sekelompok masyarakat yang besar, seseorang itu dididik di institusi pendidikan selepas didikan di rumah oleh keluarga. Oleh yang demikian, budi bahasa dalam masyarakat pada hari ini terutamanya dalam institusi pendidikan akan dijelaskan dengan lebih terperinci lagi kerana penerapan nilai berbudi bahasa dalam kalangan pelajar dilihat semakin menjadi-jadi yang menimbulkan keraguan oleh semua pihak sama ada keluarga, guru, masyarakat dan yang terpenting adalah negara. Penerapan nilai-nilai murni menerusi kurikulum adalah sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Ia bertujuan untuk mendidik individu secara menyeluruh dan harmonis dari segi kognitif, efektif dan psikomotor.
Dalam institusi pendidikan terdapat pelbagai nilai yang boleh diterap, diluah dan diadaptasikan dalam kehidupan seharian. Hal ini boleh dilihat di persekitaran sekolah itu sendiri dimana pelajar boleh mengamalkan nilai-nilai murni diantara guru dengan pelajar dan sebaliknya, antara pelajar dengan pelajar atau pelajar dengan rakan sebayanya, pelajar dengan pekerja bawahan iaitu pencuci serta tukang kebun sekolah dan sebagainya. Antara amalan-amalan murni yang boleh dijadikan panduan oleh para pelajar di dalam institusi pendidikan bagi menjayakan budi bahasa dalam masyarakat adalah seperti amalan senyum, ucapan terima kasih, bertolak ansur, tolong menolong, hormat menghormati, memberi salam atau bertegur sapa, bersabar dan sopan santun terutamanya dalam pertuturan. Oleh yang demikian kita akan melihat satu persatu nilai-nilai murni ini dalam kalangan palajar di persekitaran sekolah atau institusi pendidikan.
Kita akan melihat budi bahasa di dalam persekitaran sekolah atau institusi pendidikan. Antara aspek yang akan dibincangkan adalah melalui beberapa peringkat iaitu budi bahasa antara guru dengan pelajar dan sebaliknya, antara pelajar dengan pelajar atau pelajar dengan rakan sebayanya dan antara pelajar dengan pekerja bawahan iaitu pencuci serta tukang kebun sekolah.
7.7.1 Guru dengan Pelajar
Budi bahasa yang pertama adalah diantara guru dengan pelajar dimana guru mestilah menunjukkan sikap dan contoh yang baik seperti bersabar dan tidak lokek untuk mengucapkan terima kasih terutamanya kepada pelajar mahupun guru lain dalam institusi pendidikan itu sendiri. Hal ini kerana guru merupakan sebagai ’rol model’ kepada para pelajar dimana setiap langkah guru-guru diperhatikan oleh pelajar. Perkara ini juga dijadikan bualan masyarakat tidak kira kaum yang mengatakan bahawa guru akan menentukan setiap perlakuan pelajar-pelajarnya. Bayangkan, berapa banyak masa yang dihabiskan oleh seorang pelajar di sekolah. Alangkah ruginya jika mereka tidak dimanfaatkan untuk penerapan nilai-nilai murni ini kerana guru merupakan ibu bapa kedua bagi pelajar selepas ibu bapanya sendiri. Contohnya, sikap berterima kasih kepada pelajar boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti semasa pelajar menolong guru membawa barang-barang guru. Begitu juga dengan sikap sabar guru boleh diterapkan dalam bilik darjah terhadap pelajar yang bermasalah atau kurang faham mengenai topik pelajaran yang diajar pada hari itu dan di sinilah guru harus bersabar dan menerangkan dengan lebih lanjut lagi. Oleh itu, pelajar yang baik dan berbudi bahasa adalah gambaran serta imej negara pada masa akan datang.


7.7.2 Pelajar dengan Guru
Seterusnya budi bahasa antara pelajar dengan guru amat penting dalam kehidupan seharian kerana ilmu yang diperolehi memerlukan keberkatan daripada guru-guru semua. Antara amalan atau budi bahasa yang harus ditunjukkan oleh pelajar kepada guru-guru terutamanya dalam institusi pendidikan adalah amalan memberi salam dan sikap sopan santun iaitu di dalam percakapan atau pertuturan terhadap guru serta sesiapa sahaja. Hal ini boleh dilihat daripada pelajar-pelajar yang bertembung dengan guru akan memberi salam bagi menunjukkan bahawa pelajar itu tidak menunjukkan perkara yang akan diingini seperti suka melakukan kesalahan dan takut kepada guru. Hal ini boleh dibandingkan dengan pelajar-pelajar yang suka melakukan kesalahan dan takut kepada guru tidak akan memberi salam jika bertembung di satu-satu perjalanan. Pelajar itu akan mengelak daripada bertembung dengan guru bahkan bukan itu sahaja, pelajar juga menyemai perasaan benci terhadap sesetengah guru yang dianggapnya selalu memarahinya. Di sini kita boleh bertanya dalam diri, bagaimana amalan memberi salam dapat disemaikan dalam kalangan pelajar kepada gurunya.
Oleh itu, kita seharusnya tahu bahawa tidak kiralah sesiapa sahaja yang memulakan amalan memberi salam ini untuk mengeratkan hubungan antara pelajar dengan guru. Bagi sikap bersopan santun pula, pelajar seharusnya mengetahui batas percakapan terhadap guru yang memberi pengertian yang sama terhadap batas percakapan tehadap keluarga iaitu ibu bapa mereka. Pelajar tidak seharusnya meninggikan suara bagi menjelas dan menyuarakan sesuatu pendapat yang pelajar rasa tidak berpuas hati tentang keinginannya sendiri. Contohnya, telah banyak perkara yang berlaku dalam intitusi pendidikan yang melibatkan pelajar dengan guru ini. Hal ini boleh dilihat seperti pelajar bergaduh dengan guru, pelajar menyaman guru dan sebagainya. Dalam institusi pendidikan di Sarawak baru-baru ini, kita dikejutkan dengan seorang pelajar bergaduh dan menumbuk gurunya. Keadaan inilah yang kita harus hindari dalam kalangan pelajar yang berada di zaman globalisasi sekarang.
7.7.3 Hubungan pelajar dengan pelajar
Dalam institusi pendidikan ini juga, penerapkan nilai-nilai berbudi bahasa yang baik antara pelajar dengan pelajar atau pelajar dengan rakan sebayanya. Situasi ini dapat dilihat melalui sikap bertolak ansur yang merupakan satu amalan baik dan wajib diterapkan oleh para pelajar dalam institusi pendidikan terutamanya bilik darjah. Contohnya, dapat dilihat dalam perkara yang melibatkan kerja berkumpulan dimana pelajar seharusnya bertolak ansur melalui pelbagai aspek. Hal ini dapat diperjelaskan lagi dalam menyuarakan pendapat atau pandangan pelajar terhadap topik yang diberikan oleh guru. Bagi sesetengah pelajar, mereka tidak suka pendapatnya ditolak oleh pelajar yang lain atau rakan sebayanya. Inilah yang menimbulkan sikap yang kurang baik dalam mendidik jiwa pelajar bagi mengetahui sikap bertolak ansur itu. Seharusnya para pelajar mengetahui maksud belajar itu sendiri dimana seseorang pelajar tidak boleh mementingkan diri sendiri bagi menjalan aktiviti berkumpulan dan wajib mendengar pendapat atau pandangan pelajar lain atau rakan sebayanya. Oleh itu, sikap bertolak ansur ini wajib diterapkan dalam bilik darjah bagi menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih bermakna.


7.7.4 Hubungan pelajar dengan pekerja sekolah
Tidak terkecuali, budi bahasa dalam masyarakat menerusi institusi pendidikan ini juga melibatkan antara pelajar dengan pekerja bawahan iaitu pencuci dan tukang kebun sekolah. Ramai daripada kita melupakan perkhidmatan yang diberikan oleh pekerja bawahan ini, tidak kiralah sesiapa sahaja termasuklah para pelajar mahupun guru-guru dalam institusi pendidikan itu sendiri. Hal ini ditambah lagi dengan sikap kita yang kurang memberi perhatian kepada mereka yang bekerja bagi keselesaan semua. Perkara ini boleh dielak dan dihindari daripada merebak atau menular dengan lebih parah lagi. Ini dapat ditunjukkan oleh para pelajar mahupun guru-guru dengan menyemaikan sikap yang baik dalam diri seperti senyum dan hormat menghormati antara satu sama lain tidak kira sesiapa sahaja yang bergelar insan.
Senyum merupakan satu amalan yang baik dan diwajibkan dalam agama Islam khususnya, dimana amalan senyum ini merupakan ibadat yang tidak melibatkan wang ringgit serta kudrat yang banyak. Amalan senyum ini dapat diluahkan dalam pelbagai bentuk oleh palajar dan guru yang mana misalnya jika terserempak dengan pencuci serta tukang kebun sekolah kita memberikan senyuman sebagai tanda terima kasih atas perkhidmatan yang telah diberikannya. Begitu juga dengan sikap hormat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira situasi dan taraf. Sesetengah pelajar dan guru pada hari ini tidak menitikberatkan nilai ini kerana mereka beranggapan bahawa mereka lebih tinggi tarafnya berbanding dengan pekerja bawahan ini. Misalnya, dalam keadaan pekerja bawahan ini sedang melakukan kerja harian mereka seperti mencuci lantai, tandas, menyapu sampah dan sebagainya kita dengan senang hati tidak menghiraukan mereka dan membuat kesalahan lagi dengan tidak menghormati penat lelah mereka. Oleh tu, kita semua tidak kira pelajar mahupun guru itu sendiri mestilah menjadikan nilai-nilai positif ini sebagai satu amalan yang baik bagi memastikan institusi pendidikan bertambah maju dan menghasilkan persekitaran yang selesa.
Kesimpulannya, institusi pendidikan memainkan peranan yang penting dalam menerapkan nilai-nilai murni tidak mengira sesiapa sahaja. Walaupun begitu, usaha yang dijalankan ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama dari setiap golongan. Bermula generasi muda sehinggalah peringkat pemimpin. Budi bahasa bukan agenda biasa, tetapi merupakan agenda terpenting dalam negara sebagaimana yang dinyatakan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia. Sewajarnya, kita sebagai rakyat Malaysia perlu belajar bagaimana untuk mencapai kejayaan tanpa mengorbankan peradaban dan nilai budi bahasa rakyat Malaysia. Kita tidak mahu, dalam keghairahan kita mengejar kemajuan teknologi kita mengabaikan perkara asas dalam pembentukan peribadi individu itu sendiri.
Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa,
Sendi bangsa ialah budi,
Runtuh budi, runtuhlah bangsa.
8.8 Institusi Perkhidmatan
Masyarakat melayu sememangnya terkenal sebagai masyarakat yang memiliki nila-nilai budi bahasa dan kesopanan yang tinggi. Sejak turun temurun lagi masyarakat melayu sentiasa di terapkan dengan nilai dan kesopanan yang tinggi oleh nenek moyang mereka. Hal ini bertujuan untuk mengekalkan warisan bangsa melayu yang terkenal dengan ketinggian nilai budi bahasa dan kesopanan. Namun begitu, nilai-nilai budi bahasa dan kesopanan ini sentiasa di uji dengan peredaran zaman yang semakin maju dah berubah. Ramai manusia hari ini menganggap nilai-nilai budi bahasa dan kesopanan semakin tidak sesuai dengan zaman moden kini. Oleh hal yang demikian amalan-amalan ini semakin terhakis dek sifat manusia yang rakus dan bangga sekiranya dapat meniru budaya-budaya dari luar.
8.8.1 Hubungan Antara Ketua Dengan Pekerja
Di dalam institusi perkhidmatan pengamalan nilai-nilai budi bahasa dan kesopanan semakin terhapus dek kerana sikap acuh tak acuh dalam sektor perkhidmatan. Pengamalan nilai murni dalam sektor perkhidmatan semakin kurang di amalkan, ini disebabkan oleh faktor kesibukan dalam melakukan urusan seharian. Di antara ketua atau bos dengan pekerjanya juga didapati kurang mengamalkan nilai-nilai murni dalam melaksanakan urusan pekerjaan seharian. Contohnya amalan memberi senyuman apabila berselisih atau berhadapan di antara bos dengan pekerja juga didapati kurang di amalkan. Ini kerana bos yang terlalu sibuk dengan urusannya tidak sempat untuk bermesra dengan para pekerjanya. Ini menyebabkan amalan senyum ini kurang di amalkan. Selain itu sikap tolong-menolong juga didapati kurang di amalkan, ini kerana faktor persekitaran yang banyak mempengaruhi amalan ini daripada di amalkan. Ramai masyarakat pada hari ini mengatakan bahawa mereka takut untuk memberi pertolongan ke atas orang di sekeliling. Ini kerana mereka takut diri mereka di tipu. Sebagaimana kes-kes yang pernah berlaku sebelum-sebelum ini. Hal ini menyebabkan amalan ini semakin terhakis dalam kalangan pekerja-pekerjanya.
8.8.2 Hubungan Antara Pekerja Dengan Pekerja
Seterusnya ialah hubungan di antara pekerja dengan pekerja. Hasil daripada kajian kami, kami mendapati bahawa amalan nilai murni seperti hormat-menghormati dan amalan ucapan terima kasih di dapati segelintir sahaja yang mengamalkannya. Hal ini di sebabkan oleh sikap pekerja yang memandang remeh mengenai hal-hal hormat menghormati di antara satu sama lain. Sebagaimana yang kita tahu bahawa amalan hormat menghormati adalah sesuatu yang amat penting dalam memastikan hubungan sesama pekerja akan menjadi lebih harmoni di samping itu dengan mengamalkan amalan nilai murni ini akan mewujudkan hubungan yang baik antara pekerja dengan pekerja.
8.8.3 Hubungan Pekerja Dengan Pelanggan
Seterusnya ialah hubungan di antara pekerja dengan pelanggannya di dapati pengamalan nilai-nilai murni seperti amalan memberi salam dan sikap bersabar dalam kalangan pekerja dengan pelanggan di dapati terdapat segelintir sahaja pekerja mengamalkan nilai murni seperti memberi salam kepada setiap pelanggan yang datang menemui mereka di kaunter-kaunter perkhidmatan. Ini disebabkan oleh kesibukan dan kepenatan yang melanda, para pekerja sering terlupa untuk mengungkapkan ucapan salam kepada pelangganya. Kadangkala pekerja juga sukar untuk mengawal sikap sabar mereka apabila berhadapan dengan pelanggan-pelanggan yang agak cerewet dalam menyelesaikan urusan mereka. Kadangkala juga pelanggan juga tidak mempunyai sikap kesabaran dalam melakukan urusan di kaunter-kaunter perkhidmatan. Ini disebabkan oleh kerana pekerja yang lambat dan lembap dalam menyelesaikan masalah yang di hadapi oleh pekerja di kaunter-kaunter perkhidmatan.
9.9 Perbandingan Amalan Budi Bahasa Dahulu dan Kini
Sebagai masyarakat timur, amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni bukan suatu perkara baru. Malah kita telah diasuh sejak dari kecil lagi supaya sentiasa bersopan santun dan berbudi bahasa dalam menjalani kehidupan seharian. Hormat orang tua, memberi salam sebagai pembuka kata, membantu orang yang memerlukan pertolongan, ucapan terima kasih atau maaf di mana perlu, merendah diri dan berbagai-bagai lagi, merupakan nasihat yang tidak asing bagi kita
Amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni yang “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. merupakan warisan bangsa kita. Setiap institusi keluarga khususnya sebagai institusi sosial yang bertanggungjawab mendidik setiap ahli keluarganya. Di sinilah asas atau tunjang dalam pembentukkan insan yang berbudi, berbahasa dan berakhlak mulia seterusnya masyarakat juga memainkan peranan yang penting dalam pembentukan ini. Namun demikian, tanpa kita sedari, kehidupan cara moden disertai dengan cabaran globalisasi dan dunia tanpa sempadan, telah sedikit sebanyak menghakis budaya tradisi yang bersopan santun, bertatasusila dan hormat menghormati yang telah diamalkan turun temurun. Sikap tolong-menolong, bantu-membantu dan semangat gotong-royong yang menjadi kekuatan dan kebanggaan masyarakat kita pada suatu ketika dahulu, telah mula goyah. Kerajaan amat perihatin mengenai perkembangan yang kurang sihat ini dan berhasrat membendungnya sebelum menjadi lebih buruk. Kepincangan ini telah melahirkan beberapa sindrom negatif yang kini dipandang seakan-akan satu kebiasaan di kalangan masyarakat Malaysia. Namun, pada hakikatnya, kita telah meletakkan budi pekerti sebagai satu asas dan tunjang dalam pelbagai dasar dan falsafah pembangunan negara, dari Rukun Negara sehinggalah kepada Wawasan 2020. Jelaslah bahawa aspirasi kita dalam bidang pembangunan minda dan rohaniah tidak sejajar dengan realiti kehidupan kita masa kini.
Kita mengakui bahawa masyarakat Malaysia telah berubah dari segi sosialnya. Keadaan ini boleh dikenal pasti melalui perubahan budaya kesan daripada pembangunan negara dari dulu hingga sekarang. Terdapat tiga peringkat perubahan sosial yang dialami oleh masyarakat Malaysia iaitu era pramoden, era penjajahan dan era pembangunan negara dan rancangan lima tahun. Perubahan era ini telah memecahkan kesepaduan nilai dari satu era ke era yang lain bergantung kepada proses perubahan yang hendak dituju. Era pramoden ataupun tradisional terdapat perubahan sosial yang minimum dan tidak menimbulkan masalah sosial yang rumit. Masyarakat ketika itu khususnya Melayu adalah masyarakat yang separuh tertutup, ringkas dan praindustri. Nilai-nilai tradisi seperti keharmonian, kestabilan, patuh kepada nilai-nilai dan norma masyarakat. Pada masa ini, keamanan, kedamaian dan ketenangan menjadi keutamaan. Keadaan seperti ini dapat kita lihat dalam filem-filem Melayu klasik.
Kedatangan British telah membawa nilai dan norma yang baru serta memecahkan tradisi nilai masyarakat sama ada secara terang atau tersembunyi. Masalah sosial mula timbul sejak mereka memerintah Tanah Melayu pada akhir kurun ke 19 hinggalah pertengahan kurun ke 20. British membawa masuk industri dan sistem pentadbiran yang lebih sistematik secara mengejut dan paksaan yang merosakkan sistem dan struktur nilai, norma dan budaya masyarakat. Natijahnya ialah wujud pertentangan kerana masyarakat tidak dapat menerima perubahan yang baru ini tanpa persediaan. Kemasukan buruh Cina dan India untuk memenuhi permintaan buruh di lombong bijih timah dan ladang getah menyebabkan Melayu dipinggirkan ke kampung dan sawah. Justeru lahirlah masyarakat industri yang membentuk golongan pemodal, pengurus, pengusaha, orang tengah dan tenaga buruh.
Membina masyarakat yang beradab dan berakhlak mulia harus bermula dari bawah, dari peringkat masyarakat dan menjalar ke bandar raya. Kesedaran keluarga bagi menjadikan budi bahasa dan beradab sebagai amalan harian adalah kunci kepada kejayaan ini. Kita bersetuju dengan kempen 10 tahun yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Kesenian, Kebudayan dan Warisan untuk memanjangkan kempen ini ke sekolah-sekolah. Berapa banyak pula peruntukan yang hendak dikeluarkan seharusnya berbaloi dengan hasil yang diingini.
10.10 Langkah Penerapan Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni
Semasa kami menjalankan kajian tentang budi bahasa dalam kalangan masyarakat di sekitar Tanjong Malim dan Universiti Pendidikan Sultan Idris, kami mendapati amalan budi bahasa masih diamalkan oleh kalangan masyarakat disini. Walaupun negara kita melalui era perubahan zaman, namun amalan budi bahasa yang diamalkan pada zaman dahulu kini masih diamalkan sampai sekarang seperti amalan senyum, ucapan terima kasih, hormat-menghormati, bertolak ansur dan lain-lain. Amalan seperti harus diamalkan oleh setiap rakyat tidak kira dimana dia berpijak agar nilai-nilai sebegini tidak pupus ditelan zaman. Hal ini kerana terdapat segelintir masyarakat telah lupa akan nilai murni orang timur khususnya kerana pengaruh budaya barat yang semakin menular dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia harus berganding bahu dengan pihak kerajaan dalam usaha untuk mengekalkan amalan nilai budi bahasa ini.
Antara langkah yang perlu kita ambil bagi mengekalkan amalan budi bahasa dalam kalangan masyarakat kita ialah mengadakan kempen Budi Bahasa sama ada melalu media massa cetak atau media elektronik. Tindakan kerajaan untuk mengadakan langkah sebegini telah disokong penuh oleh semua rakyat. Buat kali pertamanya, Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni telah dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 iaitu Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada 11 Januari 2005 di Istana Budaya Kuala Lumpur. Kempen ini merupakan anjuran oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dengan kerjasama beberapa jabatan, institut, sektor korporat dan swasta. Kempen ini bertujuan untuk menerapkan dan menanam nilai-nilai murni dalam fikiran, hati budi dan tingkah laku setiap warganegara Malaysia. Kempen ini diharapkan dapat meneguhkan kembali kekuatan keluarga, masyarakat, pembelajaran, perkhidmatan dan organisasi. Pelbagai agensi kerajaan, sektor korporat, pihak swasta dan badan-badan sukarela turut bekerjasama menjayakan kempen ini (Jabatan Penerangan Malaysia, 2005).
Kempen tersebut telah diserapkan ke dalam beberapa institusi yang utama iaitu kekeluargaan, kemasyarakatan, pendidikan dan perkhidmatan. Terlebih dahulu, kita lihat amalan budi bahasa dalam institusi kekeluargaan yang kini semakin pudar seiring dengan peredaran zaman. Namun, ada juga segelintir keluarga yang masih mengamalkan budi bahasa. Misalnya, nilai murni seperti hormat-menghormati, tolong-menolong, bertolak ansur dan lain-lain masih diamalkan oleh sesebuah keluarga tersebut. Adik-beradik dalam keluarga tersebut masih menggunakan panggilan hormat seperti ‘Along’, ‘Angah’, ‘Achik’ dan ‘Andak’. Sikap anak-anak yang membantu ibu bapa mereka melaku kerja rumah amat disenangi. Selain itu, sikap memberi salam dan ucapan terima kasih oleh anak-anak kepada ibu bapa juga merupakan sikap terpuji.
Selain itu, amalan budi bahasa juga masih diamalkan dalam kalangan sanak saudara keluarga tersebut. Misalnya, anak dalam keluarga tersebut dididik untuk menghidangkan air minuman dengan kuih muih sekiranya ada jiran mahupun sanak saudara yang bertandang ke rumah. Situasi ini jelas menunjukkan amalan ini masih diamalkan sejak dahulu hinggalah sampai sekarang.
Bagi insititusi kemasyarakatan, kempen budi bahasa ini amat penting diamalkan oleh semua masyarakat. Kempen ini dapat merapatkan jurang hubungan generasi tua dengan yang muda agar berada dalam suasana hormat-menghormati, sayang-menyayangi dan sopan santun. Berdasarkan kajian yang telah kami lakukan tentang amalan budi bahasa dalam kalangan pelajar UPSI, ada segelintir yang masih mengamalkan dan ada yang lupa amalan tersebut. Hubungan generasi tua dan muda juga masih utuh apabila kami mendapati pemerhatian antara pelajar UPSI dengan tukang cuci, pengawal keselamatan dan lain-lain di sini. Misalnya, pelajar menyapa untuk bertanya khabar seperti “Apakhabar pakcik?”, “Selamat pagi makcik” dan sebagainya. Selain itu, situasi di perpustakaan, empat daripada lima pelajar yang kami perhatikan memberi senyuman dan bertegur sapa dengan kerani di kaunter peminjaman buku. Begitu juga apabila berurusan dengan pekerja di fakulti, mereka ada juga mengamalkan nilai sabar dan bertimbang rasa apabila mengambil tempoh yang lama untuk mendapatkan perkhidmatan.
Kajian juga turut dibuat dalam kalangan masyarakat Tanjong Malim dengan pelajar UPSI dimana ada segelintir pelajar yang masih beramah sapa dengan penduduk Tang Malim. Situasi ini boleh dilihat ketika pelajar UPSI turun ke pasar malam yang terletak di paekan Tanjong Malim. Kami telah memerhatikan lapan daripada sepuluh pelajar yang membeli makanan di gerai yang sama memberikan senyuman kepada peniaga. Bagi pelajar yang tidak memberi respon sebegitu, mereka mungkin dalam keadaan tergesa-gesa atau kurang peramah.
Tambahan lagi, kempen budi bahasa ini juga perlu disemarakkan dalam institusi perkhidmatan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sesetengah institusi tersebut memberi perkhidmatan dengan cara yang dingin kepada pelanggan apatah lagi hubungan ketua dengan pekerja bawahan dalam institusi tersebut. Hal ini mungkin disebabkan arus peredaran zaman yang terlalu individualistik. Misalnya, kami telah membuat satu kajian tentang amalan budi bahasa di beberapa institusi perkhidmatan iaitu di pejabat pos, klinik dan bank. Setakat yang kami perhatikan semasa kajian dilakukan, pekerja tersebut masih mengamalkan nilai budi bahasa seperti memberi senyuman semasa memberi layanan di kaunter, memberi tunjuk ajar kepada pelanggan serta bersopan santun semasa bercakap dengan pelanggan. Namun, ada juga pekerja di institusi tersebut masih memberi layanan yang dingin. Oleh itu, kempen budi bahasa ini perlu dipergiatkan lagi agar nilai berbudi bahasa yang diamalkan sejak sekian lama dahulu tidak hilang begitu sahaja dengan gaya hidup masa sekarang. Bukan setakat budi bahasa antara pelanggan dengan pekerja, malah hubungan ketua dengan pekerja dan pekerja dengan pekerja juga perlu diamalkan dan ditanam dalam diri masing-masing. Sikap berbudi bahasa dengan ketua dan rakan sekerja lain dapat menimbulkan suasana yang ceria dan tenang di tempat kerja. Malah, sikap bertolak ansur dalam berbudi bahasa antara keuta dana rakan sekerja juga tidak menimbulkan sebarang tekanan yang melibatkan hubungan mereka.
Sehubungan dengan itu, kempen budi bahasa ini juga harus diadakan dalam institusi pendidikan. Kita sedia maklum bahawa pelajar zaman dahulu amat menghormati gurunya dan guru pula sanggup berkorban untuk anak muridnya sehingga mereka berjaya ke peringkat tinggi. Namun, senario seperti itu jarang kita tengok pada masa kini dan hanya yang segelintir betul-betul menghormati dan bersopan santun dengan guru di sekolah. Kita sering mendengar dan membaca kes pelajar yang selalu melawan guru sehingga ada yang sanggup memukul guru, mengores kereta guru daln lain-lain kes. Sebagai langkah terbaik, pihak sekolah perlu memaksimumkan kempen yang berkaitan dengan budi bahasa di sekolah agar pelajar sekolah tidak mudah lupa. Hal ini kerana pelajar kini banyak disogokkan dengan bahan hiburan daripada dunia barat apatah lagi dengan kemajuan teknologi yang hanya memerlukan hujung jari sahaja.
Salah satu kempen budi bahasa yang boleh dianjurkan di sekolah ialah setiap guru harus berganding bahu untuk memantau setiap perilaku pelajar semasa di sekolah. Guru juga harus membina hubungan yang baik dengan pelajar tanpa memendam perasaan dendam dengan pelajar. Pendekatan kaedah pengajaran dan pembelajaran semasa di dalam kelas didapati dapat menanam amalan budi bahasa seperti subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Namun begitu, tidak semua pelajar bersikap biadap dengan guru mereka. Hal ini jelas apabila setiap Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun sangat meriah di setiap sekolah. Pelajar akan meraikan hari tersebut dengan guru mereka sehingga mengadakan majlis ringan dan memberi kad ucapan serta hadiah kepada guru. Keadaan ini dapat membuktikan ada segelintir pelajar yang masih mengamalkan budi bahasa seprti menghormati guru, bersopan santun semasa bertutur dan memberi salam kepada guru semasa terserempak dengan guru mereka. Situasi ini masih seperti hubungan guru dengan pelajar pada ketika dahulu.
Selain mengadakan kempen sebagai keadah untuk menyeru semua rakyat mengekalkan dan sentiasa mengamalkan nilai tersebut, ceramah, seminar dan bengkel juga perlu ditekankan dalam setiap empat institusi tersebut. Ceramah merupakan cara yang berkesan untuk memberi input dan ilmu kepada masyarakat tentang tujuan dan matlamat sesuatu ceramah diadakan. Ceramah ini boleh diadakan secara langsung degan menjemput penceramah daripada badan-badan bukan kerajaan atau bukan kerajaan yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan kempen ini. Ceramah dapat menyampaikan segala maklumat secara langsung kepada peserta yang hadir dalam ceramah itu. Selain itu, ceramah ini boleh diadakan dalam beberapa jam misalnya memakan masa selama empat hingga lima jam. Ceramah boleh diadakan ditempat yang ramai orang seperti kawasan perumahan, sekolah, universiti dan lain-lain tempat.
Manakala, seminar biasanya dibuat oleh sesetengah organisasi untuk ahli organisasi tersebut. Misalnya disediakan untu kakitangan awam mahupun kakitangan swasta untuk mempertingkatkan mutu kerja yang berkualiti dan menerapkan nilai budi bahasa dalam kalangan mereka. Hal ini bertujuan agar perkhidmatan yang diberikan oleh mereka dapat memberi keselesaan kepada pelanggan selain menjaga nama baik organisasi. Melalui seminar ini, peserta dapat menghayati budi bahasa dan nilai murni yang telah sekian lama diamalkan oleh masyarakat sejak dahulu lagi. Maka, dengan seminar ini dapat membuka hati dan minda rakyat agar mengekalkan amalan tersebut tidak kira dimana jua berada.
Berlainan dengan seminar, kaedah bengkel ini lebih mendekatkan peserta dengan cara-cara untuk menerapkan amalan berbudi bahasa dan nilai murni. Melalui bengkel ini, lebih banyak aktiviti yang dilakukan bersama peserta agar mereka dapat menghayati nilai budi bahasa dan nilai murni. Misalnya, aktiviti yang boleh diadakan dalam bengkel tersebut ialah melakonkan situasi yang memerlukan amalan budi bahasa seperti menolong orang tua melintas jalan, memberi senyuman di kaunter perkhidmatan, memberi ucapan terima kasih dan banyak aktiviti lain. Secara tidak langsung aktiviti seperti ini dapat menyedarkan bahawa sesuatu amalan tersebut amat perlu diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat tidak kira kira status yang dipegang. Hal ini kerana amalan berbudi bahasa mementingkan hubungan sejagat.





11.11 Kesimpulan
Sesungguhnya, jelaslah bahawa budi bahasa amat penting dalam membentuk keperibadian seseorang. Melalui budi bahasa juga kita dapat tahu tinggi atau rendahnya sesuatu bangsa dan tamadun itu. Sesuatu tamadun itu berada di mercu kegemilangannya ketika budi bahasanya mantap dan kukuh. Apabila budi bahasa itu semakin luntur dan malap maka hancurlah tamadun tersebut. Budi bahasa dan amalan nilai murni ini perlulah dididik sejak kecil lagi oleh ibu bapa agar mereka mengenal erti berbudi bahasa dalam menjalani kehidupan kelak sekaligus menghindari mereka bersikap jahiliah. Oleh itu, bersama-samalah kita mengingkatkan diri kita agar mengamalkan amalan budi bahasa dan nilai murni tidak kira dimana kita berpijak kerana ianya adalah jati diri kita.








Bibliografi
Alwi Salim (1983). Puisi Melayu. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Awang Had Salleh (1985). Adat Sopan dan Budi Bahasa:Penerbitan Sesekala. Bandar Darulaman: Universiti Utara Malaysia, No. 1.
Ismail Hamid (1986). Nilai Etika Masyarakat Melayu:Dunia Melayu. Terbitan Tak Berkala. Bangi:IKBBKM, UKM, NO, 1.
Kamus Dwibahasa (1979). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Perpaduan Negara dan Masyarakat (2001). Laporan Bengkel Nilai-nilai Murni, Agama dan Kepercayaan. Melaka:Jabatan Perpaduan Negara.
Mahayudin Yahaya (1998). Tamadun Islam. Shah Alam:Penerbit Fajar Bakti.
Mustafa Hj Daud (1995). Budi Bahasa Dalam Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nasri Muslim (2000, Februari 23). Membudayakan Sikap Toleransi Antara Kaum. Berita Harian
(2006). Membina Bangsa Malaysia, Jilid 1, 2 dan 3. Bangi:Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Perpaduan Negara.
Shafie Abu Bakar (1984). Falsafah Pemikiran Melayu Ditinjau dari Perkembangan Bahasa Dan Kesusasteraan, Bahasa dan Sastera Nusantara:Sejarah dan Masa Depannya. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.
Teuku Iskandar (1970). Kamus Dewan. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.
Yahaya Ibrahim (1995). Pembandaran dan Kejiranan. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.
Yunus Maris (1984). Kamus Fajar. Petaling Jaya:Fajar Bakti.

http://www.pmo.gov.my/ucapan/?m=p&p=paklah&id=2914
kebudayaan.kpkk.gov.my/download/budibahasa_buku_kecil.pdf
www.scribd.com/doc/3294478/budi-bahasa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan